Search form

KELUARAN 31

Para Tukang yang Membina Khemah TUHAN

(Kel 35.30—36.1)

1TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Aku telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda. 3Aku telah mengurniai Bezaleel kuasa-Ku. Aku telah memberi dia pengertian, kemahiran, dan kebolehan dalam segala jenis karya seni: 4untuk merancang rekabentuk yang memerlukan kemahiran serta membuatnya dengan menggunakan emas, perak, dan gangsa; 5untuk mencanai batu permata yang akan ditatah; untuk mengukir kayu dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain. 6Aku juga memilih Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan, untuk bekerja dengan Bezaleel. Aku telah mengurniakan kebolehan yang luar biasa kepada semua tukang yang mahir, supaya segala yang Aku perintahkan dapat dibuat oleh mereka: 7Khemah TUHAN, Tabut Perjanjian dan penutupnya, semua peralatan Khemah TUHAN, 8meja dan peralatannya, kaki pelita daripada emas tulen dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan, 9mazbah tempat korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan segala peralatannya, besen dan alasnya, 10pakaian ibadat untuk imam, yang dipakai oleh Harun dan anak-anaknya apabila mereka bertugas sebagai imam, 11minyak upacara, dan kemenyan yang berbau harum untuk Bilik Suci. Mereka harus membuat semuanya tepat seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.”

Sabat, Hari Rehat

12TUHAN memerintah Musa 13supaya memberitahu umat Israel, “Rayakanlah hari Sabat, hari yang telah Aku tetapkan sebagai hari rehat, kerana hari itu adalah suatu tanda antara Aku dan kamu selama-lamanya, untuk menunjukkan bahawa Aku, TUHAN, telah menjadikan kamu umat-Ku sendiri. 14Kamu mesti merayakan hari rehat itu, kerana hari itu suci. Sesiapa yang tidak merayakan hari itu, dan yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. 15 Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh adalah hari rehat yang suci, yang telah ditahbiskan untuk-Ku. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati. 16Umat Israel mesti merayakan hari ini sebagai tanda perjanjian. 17 Hari itu suatu tanda yang kekal antara Aku dengan umat Israel, kerana Aku, TUHAN telah menjadikan langit dan bumi dalam masa enam hari; pada hari ketujuh Aku berhenti bekerja, dan Aku berehat.”

18Selepas Allah berfirman kepada Musa di Gunung Sinai, Allah memberi dia dua buah batu tulis yang telah ditulisi Allah sendiri dengan perintah-Nya.

Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)

Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia

Copyright © 1996, The Bible Society of Malaysia

More Info | Version Index