Search form

KEJADIAN 22

Allah Memerintah Abraham Mempersembahkan Ishak sebagai Korban

1Kemudian Allah menguji kesetiaan Abraham. Allah memanggil, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya, aku mendengar.”

2 Allah berfirman, “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Kutunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku.”

3Awal pagi esoknya, Abraham membelah-belah kayu yang akan digunakan untuk membakar korban dan mengikat kayu itu pada keldainya. Dia berangkat bersama-sama Ishak dan dua orang hambanya ke tempat yang sudah diberitahukan Allah. 4Pada hari yang ketiga Abraham nampak tempat itu dari jauh. 5Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini bersama dengan keldai ini. Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan; nanti kami balik kepada kamu.”

6Abraham menyuruh Ishak memikul kayu untuk korban yang dibakar, dan dia sendiri membawa sebilah pisau serta bara api untuk membakar kayu. Sedang mereka berjalan bersama-sama, 7Ishak berkata, “Ayah!”

Abraham menjawab, “Ada apa, anakku?”

Ishak bertanya, “Kita sudah membawa api dan kayu, tetapi di manakah anak domba untuk korban yang dibakar itu?”

8Abraham menjawab, “Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu.” Mereka berdua meneruskan perjalanan.

9 Apabila mereka tiba di tempat yang sudah diberitahukan Allah, Abraham membina sebuah mazbah dan menyusun kayu di atasnya. Lalu dia mengikat anaknya dan membaringkan dia di mazbah, di atas kayu yang disusun. 10Kemudian dia mengambil sebilah pisau untuk membunuh anaknya, 11tetapi dari langit malaikat TUHAN berseru kepadanya, “Abraham, Abraham!”

Abraham menjawab, “Ya, Tuhan.”

12“Jangan sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya,” kata malaikat itu. “Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku, kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.”

13 Abraham memandang di sekelilingnya, lalu nampak seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut pada belukar. Abraham mengambil domba itu, lalu mempersembahkannya kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menggantikan anak lelakinya. 14Abraham menamakan tempat itu “TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan.” Sampai sekarang pun orang berkata, “Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan.”

15Sekali lagi, dari langit malaikat TUHAN berseru kepada Abraham, 16“TUHAN berfirman: Aku bersumpah demi nama-Ku sendiri; kerana engkau sudah melakukan hal ini dan tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku, 17 Aku berjanji akan memberkati engkau dengan berlimpah-limpah dan menjadikan keturunanmu sebanyak bintang di langit serta sebanyak pasir di pantai laut. Keturunanmu akan mengalahkan musuh mereka. 18 Semua bangsa di dunia akan memohon kepada-Ku supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku telah memberkati keturunanmu, kerana engkau sudah mentaati perintah-Ku.” 19Selepas itu Abraham balik kepada hamba-hambanya, lalu mereka bersama-sama pergi ke Bersyeba; Abraham menetap di sana.

Keturunan Nahor

20Abraham mempunyai abang yang bernama Nahor. Selepas kejadian itu, Abraham mendengar bahawa Milka, isteri Nahor sudah mempunyai lapan orang anak lelaki: 21Us yang sulung; Bus adiknya; dan Kemuel yang kemudian menjadi bapa Aram; 22Kesed, Hazo, Pildas, Yidlaf, dan Betuel 23yang kemudian menjadi bapa Ribka. 24Nahor mempunyai gundik yang bernama Reuma; gundiknya itu melahirkan Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha.

Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)

Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia

Copyright © 1996, The Bible Society of Malaysia

More Info | Version Index