Search form

IMAMAT 9

Harun Mempersembahkan Korban

1Pada hari kelapan, Musa memanggil Harun dan anak-anaknya serta para pemimpin Israel. 2Musa berkata kepada Harun, “Ambillah seekor lembu jantan yang muda dan seekor domba jantan, dan kedua-duanya tidak boleh ada cacat, lalu persembahkanlah kedua-duanya sebagai korban kepada TUHAN. Lembu jantan itu bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan domba jantan itu bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 3Kemudian suruhlah umat Israel mempersembahkan seekor kambing jantan bagi korban mengampunkan dosa, seekor anak lembu dan seekor anak domba yang kedua-duanya berumur satu tahun dan tidak ada cacat, bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 4Persembahkanlah juga seekor lembu jantan dan seekor domba jantan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Mereka harus mempersembahkan kedua-dua binatang itu kepada TUHAN bersama-sama korban untuk mengucap syukur, iaitu korban yang dicampuri minyak. Mereka mesti melakukan semuanya kerana pada hari ini TUHAN akan menampakkan diri kepada mereka.”

5Mereka membawa semua yang sudah diperintahkan oleh Musa ke hadapan Khemah TUHAN, dan segenap umat itu berkumpul di situ untuk menyembah TUHAN. 6Musa berkata, “TUHAN memerintah kamu untuk melakukan semua itu supaya kamu boleh nampak cahaya hadirat TUHAN.” 7 Musa berkata kepada Harun, “Pergilah ke mazbah lalu persembahkanlah korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya dosamu dan dosa semua orang ini diampunkan oleh TUHAN. Lakukanlah hal ini seperti yang diperintahkan oleh TUHAN.”

8Kemudian Harun pergi ke mazbah itu lalu menyembelih lembu jantan muda yang dikhaskan bagi korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri. 9Anak-anak Harun membawa darah lembu itu kepada Harun, dan dia mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah itu. Dia menyiramkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah. 10Kemudian dia membakar lemak lembu jantan itu, buah pinggang, dan bahagian terbaik daripada hati lembu itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN melalui Musa. 11Tetapi Harun membakar daging lembu jantan itu dan kulitnya di luar perkhemahan.

12Selepas itu Harun menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi dirinya sendiri. Anak-anaknya membawa darah binatang itu, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah. 13Anak-anak Harun memberikan kepala dan bahagian lain binatang itu kepada Harun, lalu Harun membakarnya di atas mazbah. 14Kemudian dia mencuci isi perut dan paha binatang itu, lalu membakarnya di mazbah, di atas segala korban lain, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

15Kemudian Harun mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia mengambil kambing yang akan dipersembahkan, menyembelihnya, lalu mempersembahkan kambing itu sebagaimana yang sudah dilakukannya pada korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri. 16Dia juga membawa binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu mempersembahkannya menurut peraturan. 17Dia mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, lalu mengambil segenggam tepung dan membakarnya di atas mazbah. Korban ini adalah tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang dipersembahkan setiap hari. 18 Harun menyembelih seekor lembu jantan dan seekor domba jantan sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN bagi umat Israel. Anak-anak Harun membawa darah binatang itu kepada Harun, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah. 19Harun meletakkan bahagian yang berlemak daripada lembu dan domba itu 20di atas dada kedua-dua binatang itu, lalu membawa semuanya ke mazbah. Harun membakar lemak itu di atas mazbah. 21Dia mempersembahkan dada dan paha kanan binatang itu sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN. Bahagian ini menjadi milik imam, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa.

22 Setelah Harun mempersembahkan semua korban itu, dia mengangkat tangan ke atas umat itu dan memberkati mereka, lalu dia turun. 23Musa dan Harun masuk ke dalam Khemah TUHAN. Apabila mereka keluar, mereka memberkati umat itu, dan cahaya hadirat TUHAN kelihatan kepada segenap umat. 24Tiba-tiba TUHAN menurunkan api, dan api itu membakar semua korban untuk menyenangkan hati TUHAN, serta bahagian-bahagian berlemak yang ada di atas mazbah. Apabila umat Israel melihatnya, mereka bersorak-sorak lalu sujud menyembah TUHAN.

Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika)

Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia

Copyright © 1996, The Bible Society of Malaysia

More Info | Version Index